Imam Hanbali: Hafalan Hadisnya Sebanyak Muatan 12 Ekor Unta

Imam Hanbali: Hafalan Hadisnya Sebanyak Muatan 12 Ekor Unta



" Cukuplah bagiku Hadis ini dan semoga Allah akan menyampaikan harapanmu kelak..."
 

Imam Ahmad bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Hanbali sangat memuliakan ahli Hadis kerana baginya ahli Hadis senantiasa memperkatakan perkara yang benar dan selaras dengan syariat. Malah beliau sanggup pergi walau ke mana saja terdapatnya ahli hadis tanpa memikirkan rintangan yang bakal dihadapinya. Pernah suatu ketika beliau mendengar terdapat seorang perawi yang masyhur di Syam. Tanpa melengahkan masa, beliau terus pergi mendapatkan perawi tersebut. Sesampai saja di sana, Imam Hanbali mendapati perawi itu sedang memberi makan seekor anjing. Beliau lantas memberi salam. Perawi itu menjawab salam, namun sedikitpun tidak menoleh ke arah tetamunya itu. Malah terus memberi anjing itu makan.

 "Apakah engkau marah kepadaku?"soal perawi itu kepada Imam Hanbali sebaik saja dia selesai melaksanakan kerjanya. Sebenarnya Imam Hanbali kurang senang dengan layanan perawi itu. Lantas beliau mengiyakannya. 

Perawi tersebut kemudian berkata, "Di negeriku ini tidak ada anjing. Tetapi anjing ini mengikutiku kerana ia lapar dan dahaga. Dengan memberinya makan dan minum, aku merasa telah menunaikan tanggungjawabku seperti yang telah disampaikan kepadaku oleh Abu Zanad dan al Araj dari Abi Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Siapa yang menghampakan harapan orang yang berharap kepadanya, Allah akan menghampakan harapannya pada hari Qiamat kelak (tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga)."Terima kasih. Cukuplah bagiku Hadis ini dan semoga Allah akan menyampaikan harapanmu kelak," kata Imam Hanbali dengan tersenyum. Lantas beliau kembali semula ke Baghdad.

Imam Habali juga dikurniai Allah minat terhadap ilmu. Dengan kecerdasan otaknya, dia mudah menguasai ilmu yang dipelajarinya. Malah beliau masih meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang ilmu walaupun ketika itu beliau sudah mengajar dan bergelar seorang Imam yang ramai pengikutnya. Nyata bahawa sikap beliau terhadap ilmu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad".Imam Hanbali banyak menghabiskan masanya menghadiri majlis ilmu yang dipimpin oleh Imam Syafi'i kerana Imam Syafi'i memiliki ilmu yang luas tentang Hadis dan sanadnya serta ilmu Usul Fiqh yang pada masa itu tidak ada pada orang lain. Beliau mempunyai keinginan yang kuat untuk mencari dan menghimpunkan seberapa banyak Hadis khazanah ilmu. Sebab itu bila sahaja beliau mendengar berita bahawa ada seorang ahli Hadis di sebuah negeri, beliau pun bekerja ke sana tanpa memikirkan kesusahan dan cabarannya. Tidak hairanlah, khazanah Hadis yang dimiliki Imam Hanbali tidak terkira banyaknya. Dan berkat kegigihannya tersebut ramai ulama berkata bahawa beliau berjaya mencungkil banyak hadis. Sekiranya tidak diusahakan oleh beliau, mungkin hadis tersebut terpendam begitu sahaja.

Imam Hanbali dikatakan pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan di dalam mimpi itu beliau berkata kepada baginda: "Dapat kiranya tuan mendoakan saya semoga saya diselamatkan Allah dari seksa-Nya di akhirat kelak."
Maka Rasulullah pun menjawab: "Aku memang telah mendoakan engkau demikian."
Imam Hanbali bertanya, "Bila ya Rasulullah?"
Jawab Nabi, "Sejak engkau menghidupkan sunnahku, padahal ianya telah dipendamkan oleh para ahli bid'ah."

Ketika hampir wafat, beliau telah membacakan semua hadis yang menjadi hafalannya untuk ditulis oleh pengikut dan anak muridnya. Apabila kertas yang telah ditulis dengan hadis tersebut dikumpulkan, ia cukup untuk muatan 12 ekor unta. 


B i o d a t a 

Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal yang bersambung nasabnya dengan Rasulullah dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabi'ul Awal tahun 164 Hijrah, kira-kira 14 tahun selepas Imam Syafi'i dilahirkan. Kedua orang tuanya berasal dari Iran, kemudian berpindah dan menetap di kota Baghdad yang ketika itu merupakan pusat pemerintahan dan pengembangan ilmu pengetahuan Islam yang terkenal.

Sepertimana Imam Syafi'i, beliau dibesarkan dan diasuh oleh ibunya, kerana ayahnya telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil. Beliau mula menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu hadis sewaktu berusia 16 tahun. Dari kota Baghdad, beliau mengembara hingga ke Kufah, Basrah, Syam, Yaman, Makkah dan Madinah. Di samping belajar, beliau juga membuat kerja-kerja untuk menyara hidupnya. 

Walaupun ingatan beliau begitu kuat, beliau tetap menulis ilmu yang diperolehinya. Baginya seburuk-buruk catatan adalah lebih baik dari sekuat-kuat ingatan kerana tulisan boleh diwariskan kepada generasi akan datang sedangkan ingatan adalah untuk diri sendiri.
 
Meskipun telah bergelar ulama besar dan mempunyai murid yang begitu ramai, beliau terus-menerus belajar. Ketika ditanya sampai bilakah beliau akan belajar, dengan spontan beliau menjawab, "Dari hujung pena sampai ke liang lahad". Antara guru-guru beliau yang terkenal Husyaim bin Basyir, Imam Syafi'i, Imam Waqi' (guru Imam Syafi'i) dan Imam Abu Yusuf al-Qadhi (murid Imam Abu Hanifah).
 
Dalam usia 40 tahun, Imam Hanbali mula mengajar. Beliau amat tegas terhadap orang-orang yang melakukan bid'ah dan kemungkaran sekalipun orang itu dianggap sebagai ulama oleh masyarakat.
 
Kerana ketegasannya itu, beliau telah dipenjara dan diseksa oleh Khalifah al-Makmum yang terpengaruh dengan fahaman Muktazilah yang berpendapat al-Quran itu adalah baharu dan makhluk Allah. Fahaman ini bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang meyakini bahawa al-Quran bukan makhluk tetapi adalah Kalamullah. Walaupun diseksa, keyakinan beliau tidak sedikitpun terjejas.
 
Hanya ketika pemerintahan al-Mutawakkil barulah penyeksaan ke atas Imam Hanbali dihentikan, iaitu setelah 14 tahun beliau diseksa.
 
Sebenarnya Imam Hanbali telah memperolehi isyarat bahawa beliau akan mengalami penyeksaan sedemikian rupa. Imam Syafi'i yang merupakan guru beliau telah bermimpi bertemu Rasulullah. Baginda memberitahu bahawa Imam Hanbali akan menghadapi ujian yang berat berikutan fitnah yang berlaku ke atas umat Islam. Tidak hairanlah kenapa beliau begitu tabah dan sanggup berhadapan dengan ujian berat sedemikian rupa.
 
Setelah keluar dari penjara, Imam Hanbali terus mengajar walaupun beliau sering sakit. Tujuh tahun kemudian iaitu pada 12 Rabi'ul Awal tahun 241H, beliau meninggalkan dunia yang fana ini menuju cintanya, Allah yang Maha Esa ketika berusia 77 tahun. 

Pujian-pujian ulama kepada Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Syafi'i: Tidak seorang pun yang lebih arif mengenai hukum, berhati-hati menjaga diri sendiri dan paling kuat beragama melainkan Imam Ahmad setelah aku keluar dari kota Baghdad.Imam Qutaibah bin Said: Sekiranya tidak ada Imam Hanbal, nescaya berkembanglah bid'ah.
Imam Ahmad bin Syaiban: Aku tidak pernah melihat Imam Yazid bin Harun (seorang guru Imam Ahmad) menghormati muridnya seperti dia menghormati Imam Ahmad bin Hanbal. Dia amat senang melihat Imam Ahmad duduk di sebelahnya ketika dia membacakan hadis.
Imam Ibnu Uwais: Selama Imam Ahmad bin Hanbal masih hidup ilmu hadis masih unggul.
Imam Ibrahim bin Harbi: Ketika saya melihat Imam Ahmad dan mendengar pertuturannya, seolah-olah Allah menghimpunkan pada dirinya pengetahuan ulama-ulama dahulu dan ulama akan datang.


abdkadiralhamid@2013

Subscribe to receive free email updates: